Satu sindiket penipuan didalangi tiga individu termasuk pasangan suami isteri dikesan menggunakan laman sosial Facebook untuk memikat mangsa wanita dan menjanjikan hadiah sejumlah wang tunai sebelum memperdayakan mangsa.
Difahamkan, dua lelaki warga Nigeria berperanan mencari mangsa terutama warga asing melalui laman sosial berkenaan dan menjadikan mereka sebagai teman wanita.
Sebaik menjalinkan hubungan cinta, sindiket berkenaan mendakwa menghantar bungkusan mengandungi sejumlah wang melalui ejen syarikat penghantaran di Malaysia kepada mangsa sebagai hadiah cinta.
Bagaimanapun, tindakan licik sindiket berkenaan berjaya dilumpuhkan selepas tiga suspek iaitu dua lelaki Nigeria dan seorang wanita tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di dua lokasi berasingan di Cheras dan Seri Kembangan Isnin lalu.
Tangkapan jam 4.30 petang itu dilakukan hasil laporan polis yang dibuat seorang wanita yang juga ahli perniagaan dari Taiwan mendakwa kerugian RM380,000 selepas melakukan beberapa transaksi kepada sindiket berkenaan melalui Western Union.
Turut dirampas empat kenderaan, sejumlah barangan kemas bernilai RM100,000, pelbagai jenis peralatan komputer, kad ATM dan visa pelbagai bank, beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM14,000 dan wang tunai AS$15,000.
Timbalan Pengarah II, JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf, berkata mangsa berusia 43 tahun mendakwa mengenali seorang suspek menggunakan nama ‘John Miller’ awal Februari lalu melalui Facebook dan menjalinkan hubungan cinta sebelum diperdaya.
“Mangsa dijanjikan bungkusan mengandungi wang tunai RM4.6 juta sebagai hadiah, tetapi diminta membuat transaksi RM380,000 berikutan bungkusan itu didakwa mengandungi masalah untuk dihantar.
“Mangsa yang sempat membuat tiga kali transaksi bagaimanapun sedar beliau ditipu apabila menyedari barang dijanjikan tidak sampai sebelum tampil membuat laporan di Kedutaan Taiwan di Malaysia akhir Februari lalu,” katanya.
Mohd Rodwan berkata, siasatan polis mendapati, suspek iaitu dua lelaki warga Nigeria berusia 30-an dan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun turut melakukan perniagaan kereta sewa dipercayai hasil keuntungan penipuan.
“Siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk menyiasat sama ada terdapat pembabitan individu lain. Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan ramai lagi menjadi mangsa sindiket itu,” katanya.
Suspek kini ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Mohd Rodwan berkata, sepanjang empat bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima laporan 245 kes dan menangkap 48 individu berhubung penipuan menggunakan modus operandi sama membabitkan nilai kerugian RM9.4 juta.
Berbanding sepanjang tahun lalu, katanya, sebanyak 759 kes direkodkan dan 30 individu ditahan serta membabitkan jumlah kerugian RM20.5 juta.
Hati-hati buat rakan-rakan lain tidak kira yang menggunakan Facebook, Friendster, Twitter, Blog dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas komen yang diberikan..:)