Showing posts with label chong wei. Show all posts
Showing posts with label chong wei. Show all posts

~ Misbun-Chong Wei ibarat 'irama dan lagu'


Lagu: Getaran Jiwa | Penyanyi: P. Ramlee

Sumber: Berita Harian

PADA pengamatan Datuk Mazlan Ahmad, gandingan Lee Chong Wei dan mentornya, Datuk Misbun Sidek ibarat 'lagu dan irama yang tak dapat dipisahkan'.

Semalam, Penasihat Sukan Kementerian Pelajaran itu menyuarakan formula terbaik untuk meleraikan isu badminton itu adalah melantik Misbun selaku penasihat kepada pemain nombor satu dunia itu walaupun sebelum ini anak didiknya itu seperti tidak memerlukan sentuhan emasnya lagi.

“Jika Chong Wei kian selesa dengan Tey Seu Bock, mereka boleh teruskan tetapi sentuhan emas Misbun juga tidak boleh diketepikan begitu saja dalam memastikan misi penting di Sukan Olimpik 2012 mencapai sasaran.

“Pilihan terbaik adalah melantik Misbun sebagai penasihat dan saya yakin ia bukan masalah kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini hingga Chong Wei berjaya hari ini,” katanya semalam.

Mazlan berkata, pada masa sama Misbun perlu diberi tanggungjawab mencari pengganti Chong Wei, tetapi dengan syarat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus memberi kebebasan dan kepercayaan kepada jurulatih itu memilih pemain pelapis bimbingannya.

“Ini penting kerana hanya ‘jauhari yang mengenal manikam’ dan BAM hanya perlu menetapkan indeks prestasi utama (KPI) kepada Misbun memastikan pemain pelapis bimbingan menyerlah dalam tempoh ditetapkan.

“Lagipun, ini adalah masa terbaik menggunakan kepakaran Misbun membimbing pemain pelapis kerana orang ramai dan peminat sering bertanya, siapa pengganti selepas Chong Wei,” kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara itu.
Mazlan juga menyenaraikan satu lagi pilihan dengan BAM membenarkan Chong Wei kembali menjalani latihan bersama Misbun dan menjadi rakan sparring kepada pemain pelapis bimbingannya.

“Jika saya diberi pilihan, saya akan memilih pilihan ini kerana ini akan membantu mempercepatkan proses kematangan pemain pelapis kerana mereka berpeluang sparring dengan pemain nombor satu dunia.

“Apapun, BAM kena membuat keputusan terbaik demi kepentingan negara dan jangan sesekali membuat keputusan dipengaruhi emosi,” katanya.

~Chong Wei Tidak Perlukan Misbun



2 April: Misbun telah memutuskan untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas meletak jawatan secara mengejut pada 31 Disember 2010.

Chong Wei yang berjaya mempertahankan kejuaraan Seluruh England, bulan lalu menyifatkan dia kini ‘mampu menjaga diri sendiri dan memperbaiki kelemahan.’

“Ia terbukti apabila saya mengekalkan kejuaraan dalam tiga kejohanan setakat ini.

Saya tidak boleh mengharapkan kepada satu jurulatih saja kerana perlu menjalankan tanggungjawab yang berat termasuk, berlatih bersungguh-sungguh,” katanya selepas majlis amal ‘Hope & Smile’ di Dewan Tunku Geodesi Dome, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) bagi mengumpul sekurang-kurangnya RM1 juta untuk disalurkan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun.

Pemain nombor satu dunia itu yang dibimbing Tey Seu Bock sepanjang ketiadaan Misbun menegaskan dia tidak kisah sama ada dibimbing oleh mentornya itu atau tidak dalam membuat persiapan memburu kemasyhuran memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2012.